Site Engineer Terjatuh Ketika Menuruni Tangga Perancah

Salah seorang kawan saya yang hanya mahu dikenali sebagai Yasaf telah mengalami patah tangan kanannya akibat tergelincir dan terjatuh ketika menuruni tangga perancah pada ketinggian lebih kurang 2.7 meter. Menurut beliau, salah satu anak tangga perancah didapati telah bengkok. Tangga perancah telah dipasang sehingga mencapai ketinggian lebih kurang 6 meter. Tangga perancah tersebut telah digunakan hampir sebulan yang lalu bagi menyediakan laluan keluar dan masuk ke aras tempat kerja. Beliau telah dibawa ke klinik oleh rakan sekerjanya bagi mendapatkan rawatan kecemasan sebelum dihantar terus ke KPJ Hospital untuk rawatan selanjutnya. Beliau dibenarkan pulang pada hari yang sama dan diberi cuti sakit selama 7 hari dan akan dilanjutkan kepada sebulan sekiranya diperlukan. Kejadian itu berlaku pada hari Selasa yang lalu yang bertarikh 9hb Ogos 2011.

Terdapat beberapa kemungkinan punca kejadian tersebut antaranya adalah:
  1. Tiada pemeriksaan awal dilakukan oleh pihak majikan ke atas peralatan - peralatan dan komponen perancah sebaik tibanya di tapak projek;

  2. Walaupun diketahui terdapat beberapa peralatan atau komponen perancah yang tidak selamat digunakan (bengkok, karat, patah, retak dsb), pihak majikan masih membenarkan penggunaan peralatan dan komponen perancah tersebut;

  3. Tiadanya pemantauan dan penyeliaan dari orang yang kompeten ketika pemasangan perancah sedang dilakukan;

  4. Pihak majikan sengaja tidak melantik dan mengambil orang yang kompeten untuk melakukan pemeriksaan dan penyeliaan ke atas perancah tersebut walaupun telah mengetahui keperluan tersebut seperti yang termaktub di dalam BOWEC Regulations 1986;

  5. Ketiadaan penyelenggaraan ke atas tangga perancah dengan memastikan laluan tangga perancah sentiasa bersih dan selamat;

  6. Ketiadaan penilaian risiko dan bahaya termasuk juga ketiadaan langkah pencegahan ke atas bahaya tersebut dilakukan oleh pihak majikan. Lebih jelas lagi tiadanya 'Hazard Identification, Risk Assessment and Determining Control' (HIRADC) dijalankan sebelum kerja pemasangan/pembukaan/pembetulan perancah dilakukan;

Selepas kejadian tersebut, mendapati pihak majikan masih gagal untuk membuat laporan kepada JKKP kerana bermungkinan pihak majikan tersebut tidak mahu membesar-besarkan isu ini kepada JKKP. Walhal, tujuan laporan tersebut adalah untuk memastikan kejadian tersebut tidak berulang kembali. Pihak majikan juga masih tidak menjalankan penyiasatan secara menyeluruh ke atas kejadian tersebut. Keperluan ini telah pun termaktub di dalam 'NADOPOD Regulation 2004'.
Source : e-OSH

Post a Comment

0 Comments